Secara asasnya, menyusukan bayi tidak membuatkan berat badan bertambah. Malah menurut kajian, ibu-ibu yang menyusukan anak lebih mudah menurunkan berat badan berbanding ibu-ibu yang tidak menyusukan anak kerana menyusukan bayi menggunakan antara 200 hingga 500 kalori setiap hari. Bagaimanapun perlu diingat, kita masih perlu menjaga pemakanan.
Ada beberapa panduan yang mungkin berguna untuk ibu-ibu yang ingin menurunkan berat badan. Paling utama ibu tersebut perlu minum air secukupnya. Air yang mencukupi dapat melancarkan sistem badan termasuk mengekalkan metabolisme kita pada kadar yang sepatutnya. Seelok-eloknya hanya minum air setengah jam selepas makan. Ibu juga dinasihatkan untuk makan apabila perut berasa lapar. Mereka juga perlu ingat pada wasiat Rasulullah "Makan apabila lapar, berhenti sebelum kenyang". Paling baik sekali adalah makan empat ke enam kali sehari dengan kuantiti yang kecil. Utamakan sarapan pagi. Sarapan pagi perlu diambil dalam masa sejam selepas bangun tidur.
Makanan yang dimakan juga perlu dikunyah secara perlahan-lahan. Paling baik sekali jika makanan tersebut dikunyah 44 kali untuk mengurangkan beban penghadaman. Selain itu, otak akan menerima isyarat kekenyangan pada waktu yang tepat. Kalau makan laju sangat, otak tidak sempat memberi isyarat yang kita dah terlebih kenyang. Kurangkan percakapan semasa makan untuk mengelakkan tidak perasan yang kita sudah terlebih makan.
Makanan yang diambil perlu seimbang. Kajian menunjukkan bahawa ramai orang yang terlebih berat badan disebabkan zat yang tidak mencukupi. Kekurangan protein akan menyebabkan badan tidak dapat menghasilkan enzim (enzim terbina daripada asid amino) yang mencukupi untuk mencernakan makanan.
Selain itu, orang yang kekurangan protein biasanya mempunyai nafsu makan yang sangat tinggi. Protein biasanya membuatkan kita rasa kenyang dalam jangka masa lebih panjang. Vitamin B6 adalah zat penting dalam metabolisme lemak. Kalau berkurangan, lemak tidak dapat dibakar dan berkumpul secara berlebihan.
Kesimpulannya, makanan yang diambil perlu seimbang. Kurangkan pengambilan gula dan makanan rapu. Gula membekalkan kalori yang tiada nilai zat. Gula juga menambah potensi seseorang diserang penyakit diabetes mellitus apabila pengambilan tidak dikawal. Manakala makanan rapu yang mengandungi garam yang tinggi bukan sahaja menyebabkan nafsu makan sukar dikawal bahkan dikaitkan dengan risiko penyakit hipertensi (darah tinggi).
Bagaimanapun, bagi yang tidak dapat meluangkan masa untuk bersenam, eloklah mengambil alternatif seperti menggunakan jalan lebih jauh untuk sampai ke satu-satu tempat dengan berjalan, berjalan sambil menghayunkan tangan, melakukan kerja rumah, aktiviti santai bersama anak-anak dan banyak menggunakan tangga daripada lif.
Hendaklah sentiasa berfikiran positif dan banyak bersabar kerana pengurangan berat badan ini adalah lebih kurang dua kilogram sahaja dalam masa sebulan. Teruskan dengan penyusuan kerana ada banyak lagi keistimewaan yang akan dikecapi.
Wah untunglah mummy2 yg tgh susukan baby tukan.. hehehe
ReplyDelete